Friday, January 16, 2009

Bolehkah anda jatuh cinta pada seseorang yang anda tidak kenali

Dalam hal ini bremaksud jatuh cinta pada seseorang yang anda tidak kenali mungkin dari segi keperibadian atau tingkah lakunya. Mungkin anda tertarik kerana paras rupanya yang menambat hati anda. Bertemu pandang dengannya membuatkan hati anda girang dan jantung berdegup kencang. Hati mula berbicara irama gembira sekali gus membuahkan suatu perasaan yang nyata. Bak kata pepatah,dari mata turun ke hati. Waktu itu, pasti anda memasang angan-angan untuk mendekati dan mendampinginya. Anda ingin si dia menjadi milik anda. Apa langkah anda seterusnya? Jika setakat memendam rasa, perasaan anda memang tidak berbaloi.
Sebaliknya jika anda mempunyai keyakinan dan keberanian, semua mimpi anda menjadi pasti menjadi kenyataan. Namun jika anda membuat keputusan untuk mengaguminya dalam diam, memendam perasaan biar pun ia membuak-buak dan tidak berani untuk berhadapan dengan kenyataan perasaan, maka sampai selamanya perasaan itu terperuk saja hingga ia berlalu menyepi. Tapi mampukah anda memendam rasa sedangkan hati anda sudah jatuh suka padanya? Tepuk dada, Tanya selera.

Perbezaan pertembungan cinta & cinta sejati



Pertembungan cinta selalunya terjadi apabila anda pertama kali bertemu seseorang dan anda merasai sesuatu perasaan istimewa yang sukar untuk digambarkan. Selalunya lebih kepada tarikan seksual, ditambah pula dengan degup jantung yang bergetar apabila pertama kali bertentang mata. Kerap juga terjadi cinta pandang pertama walaupun kita tidak mengetahui tindak balas si dia. Adakah dia juga rasa apa yang dirasakan oleh anda rasa atau anda hanya bertepuk sebelah tangan? Kadangkala kita tidak tahu adakah si dia sudah berpunya atau pun masih solo. Perasaan ini sukar untuk dipadam andai anda benar-benar sudah jatuh cinta terhadap si dia. Puas menolak perasaan yang sudah bersarang di sanubari tetapi apakan daya, jika hati sudah terpaut, tiada yang mampu menghalangnya. Inilah yang dinamakan pertembungan cinta. Cinta yang penuh konflik antara hati dan perasaan. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai saingan, contohnya si dia sudah mempunyai peminat sendiri.
Manakala cinta sejati pula terjadi apabila dua hati telah terpaut antara satu sama lain dan sepakat untuk menjalinkan perhubungan yang lebih serius. Cinta sejati mestilah lengkap dengan pakej tersendiri bagi menjamin keharmonian dalam percintaan. Pakej yang dimaksudkan antaranya memahami, menerima seadanya, saling melengkapi, berkompromi, rasional, dan sebagainya yang relevan untuk dipraktikkan dalam sesebuah perhubungan serius. Andai salah satu pakej yang terpenting ini tiada, kemungkinan besar percintaan sukar bertahan lama. Tetapi ini bergantung kepada anda dan si dia. Jika bijak menjaga hubungan dan saling bertoleransi terutamanya ketika menghadapi sebarang masalah, pasti hubungan itu kekal lama.



JUJUR + SETIA + SALING SAYANG-MENYAYANGI + KEPERCAYAAN + TERIMA SEADANYA = CINTA SEJATI